KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bakal mempersembahkan produksi seni bertemakan Classical Traditions: Ragas and Mudras oleh Temple of Fine Arts (TFA) pada 6 Sept depan, menampilkan gabungan muzik dan tarian klasik India yang memukau.
Persembahan istimewa itu mengetengahkan keindahan muzik tradisional hindustani dan carnatic, serta empat bentuk tarian klasik India, iaitu bharatanatyam, odissi, kathak dan kuchipudi yang bersama-sama menghidupkan semula warisan budaya India dalam bentuk artistik mengagumkan.
“Ragas merupakan struktur melodi dalam muzik klasik India, kombinasi nota dan frasa melodi yang menyerlahkan karakter unik, manakala mudras pula ialah simbol pergerakan yang diekspresikan melalui tangan, tubuh dan pernafasan, memberikan makna spiritual dan ritual yang mendalam,” menurut kenyataan DFP hari ini.
DFP berkata pementasan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya menyediakan platform kepada seni dan budaya tempatan untuk terus berkembang.
Tahun lalu, DFP mementaskan pelbagai persembahan berteraskan kebudayaan termasuk Mek Mulung Putera Cahaya Bulan, Randai Mudo Pak Belalang, Orkestra Cina Sekolah Menengah Jit Sin serta Sanggar Seni.
TFA yang diasaskan pada 1981 merupakan sebuah organisasi seni yang berdedikasi memelihara dan mempromosi budaya India dalam kalangan generasi muda.
Bermula sebagai institusi tarian, ia kemudian berkembang merangkumi bidang muzik dan vokal.
Hingga kini, TFA telah menghasilkan lebih 20 produksi penuh dan 300 persembahan pendek, selain pernah mengadakan jelajah ke pelbagai negara termasuk India, Sri Lanka, Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Tiket persembahan dijual pada harga RM69 hingga RM249, termasuk pilihan suite eksklusif dengan jamuan ringan. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web rasmi DFP di www.dfp.com.my.