JOHOR BAHRU: Meskipun berdepan persaingan daripada pelbagai jenama kopi moden dan francais global, kopi tenggek yang popular di negeri ini kerana keunikannya masih mendapat tempat dalam kalangan penggemar rasa kopi asli.
Kopi tenggek, dihasilkan menggunakan bekas penapis logam kecil yang berisi 10 gram serbuk kopi diletakkan di atas permukaan gelas, sebelum air panas bersuhu 97 darjah Celsius dituang perlahan-lahan ke dalam penapis.
Keunikan penyajian kopi tenggek yang menggunakan penapis yang seolah ‘bertenggek’ atas gelas, terus memikat hati penggemar kopi tempatan dan antarabangsa, menjadikannya antara tarikan unik walaupun kafe hipster muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan di negeri ini.
Penggemar kopi Rafidah Jaes, 43, berkata beliau amat meminati rasa kopi tenggek disebabkan kesederhanaan dan keasliannya, dengan rasa unik kopi Liberica yang sedikit masam. Aroma dan rasa kopi asli memberi pengalaman berbeza kepada peminatnya.
“Rasa kopi ini tidak terlalu ‘fancy’ dan cara ia dititiskan perlahan ke dalam cawan buatkan kita lebih menghargai setiap hirupan. Ia tak terlalu pahit, tak terlalu manis cukup sempurna untuk pencinta kopi tegar,” katanya kepada Bernama.
Bagi Datuk Mazlan Aliman, 59, kopi tenggek bukan sekadar minuman tetapi satu kenangan.
“Ia ingatkan saya pada arwah ayah, warung kampung, suasana santai. Mesin moden kadang-kadang hilangkan minyak asli kopi. Yang ini rasa dia tulen,” katanya yang juga bekas penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.
Sementara itu, Hazim Salim, 33, berkata beliau lebih memilih kopi tenggek disebabkan harganya yang lebih murah, namun lengkap dengan rasa pahit, manis, dan aroma kopi.
Pemilik Kopi Tenggek Tanjung Piai Ghazaley Ayiub, 58, berkata beliau mendapat ilham untuk menjalankan perniagan kopi itu setelah berkunjung ke Saigon, Vietnam dan melihat ramai pembonceng motosikal yang menjual kopi mereka dengan cara sedemikian.
Bagaimanapun, keistimewaan Kopi Tenggek Tanjung Piai terletak pada penggunaan biji kopi Liberica dari Johor yang digoreng sendiri dengan suhu terkawal.
“Kami campurkan Liberica dengan Arabica untuk hasilkan rasa yang seimbang – antara medium dan dark roast. Liberica ni rasa dia ada ‘fruity’ sikit, ada yang rasa macam mangga ... dan itu yang buat orang datang semula,” katanya ketika ditemui pada pembukaan cawangan kedua di Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini.
Anak jati Pontian itu berkata cawangan pertama di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian menerima antara 1,000 hingga 1,500 pengunjung setiap hujung minggu, menunjukkan sambutan hangat rakyat terhadap kopi tenggek.
Antara kenangan manis Ghazaley ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah tiga kali berkenan singgah di kedainya, manakala Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail juga dua kali berkenan mengunjungi kedainya bersama pasukan bola sepak.