• 2025-07-19 09:43 AM

KUALA LUMPUR: Dua pekerja asing di Malaysia mengalami kecederaan ketika bekerja, namun nasib masing-masing bagai langit dengan bumi.

Yang pertama - Jebaraj (bukan nama sebenar) dari India - meninggal dunia seorang diri dengan bil hospital tidak berbayar. Jasadnya disimpan di bilik mayat hampir dua bulan dan hanya dapat diterbangkan pulang ke negara asal dalam keranda tertutup selepas bil tertunggak itu dilunaskan.

Yang seorang lagi - Sri Handayani atau Riyanie, 49 tahun, pembantu rumah dari Indonesia - dilanggar kereta ketika ke kedai runcit. Dia diberikan rawatan dan didiscaj hanya dalam tempoh beberapa jam, menjalani fisioterapi selama sebulan dan kini telah kembali bekerja.

Dua insiden itu berlaku selang setahun.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) - skim insurans yang disokong oleh kerajaan Malaysia untuk golongan pekerja - membayar bil perubatan kedua-dua pekerja asing terbabit. Semua pekerja, baik asing ataupun tempatan, diwajibkan oleh undang-undang untuk mencarum dalam PERKESO, yang tidak hanya membayar bil perubatan akibat kecederaan atau dijangkiti penyakit ketika bekerja, tetapi juga faedah hilang upaya dan kematian.

Namun dalam kes Jebaraj, dia hanya menerima bantuan daripada PERKESO selepas hampir dua bulan kematiannya, sementara Riyanie pula serta-merta.

Kisah mereka mendedahkan kelemahan besar dalam sistem yang boleh dikatakan terlalu bergantung pada majikan dan nasib, sedangkan golongan ini tidak ada sistem sokongan lain ketika bekerja di negara ini.

“Bagi pekerja asing, amat penting untuk mereka dilindungi (PERKESO), terutamanya yang bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya) di mana kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata Sumitha Shaanthinni Kishna, pengasas dan pengarah pertubuhan hak asasi pekerja asing Our Journey. “PERKESO mempunyai sistem yang ampuh apabila ia berfungsi seperti yang dihasratkan.”

Tanpa perkeso

Kes Jebaraj menggambarkan apa yang boleh berlaku pada seseorang pekerja sekiranya ditimpa kemalangan tanpa perlindungan PERKESO.

Pada 6 Mac 2024, lelaki berusia 48 tahun dari Tamil Nadu, India itu sedang bekerja di bahagian dapur sebuah restoran di Bangsar, apabila tong gas meletup. Berdasarkan laporan berita, 80 peratus daripada tubuhnya melecur teruk dan dia satu-satunya mangsa dalam kejadian itu. Dia kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Keluarganya tidak dimaklumkan. Anak perempuan Jebaraj yang berusia 25 tahun, mahu dikenali sebagai Suba, memberitahu Bernama melalui jurubahasa, mereka hanya tahu ada yang tidak kena apabila bapanya gagal menghubungi mereka pada 6.30 petang seperti yang dijadualkan.

Dia menghubungi majikan bapanya yang memberitahu Jebaraj mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital.

”Dia beritahu saya yang ayah saya okey, sedar dan boleh bercakap,” kata Suba menerusi Google Meet. “Kami tidak pergi melawatnya kerana kami sangka dia akan okey.”

Realitinya, kata Suba, ayahnya dalam keadaan koma. Dia dan ibunya meminta untuk bercakap dengan Jebaraj, ataupun ditunjukkan gambar lelaki itu dalam proses pulih di hospital, namun majikan ayahnya berkata HKL tidak membenarkan penggunaan telefon di premis hospital.

Sejak itu keadaan bertambah teruk. Jebaraj meninggal dunia pada 2 Jun 2024. Bagaimanapun Suba dan emaknya hanya dapat mengebumikan mayat mendiang hampir dua bulan kemudian.

Gadis itu mendakwa majikan ayahnya cuba meyakinkan mereka agar mengembumikan Jebaraj di Malaysia atas alasan penghantaran pulang mayat melibatkan proses yang merenyahkan.

Suba kemudian meminta rakan bapanya mendapatkan maklumat tentang kes Jebaraj dan barulah mereka tahu mayat bapanya tidak boleh dituntut kerana bil perubatan belum dibayar.

Suba tidak pasti sama ada majikan bapanya telah melaporkan kes itu kepada PERKESO seperti yang dituntut oleh undang-undang. Yang jelas PERKESO hanya terlibat dalam kes Rebaraj selepas Sumitha, menerusi NGOnya yang mewakili Suba dan ibunya, mengemukakan petisyen kepada organisasi itu agar membayar bil hospital serta faedah yang layak diterima mereka.

Apabila dihubungi Bernama, majikan Jebaraj memberitahu lelaki itu mempunyai perlindungan PERKESO ketika insiden berlaku, namun tidak menjelaskan sebab bil hospital tidak dibayar.

PERKESO mengesahkan kepada Bernama Jebaraj dilindungi mereka.

“PERKESO telah menyiasat kes itu dan mengesahkan bahawa kes tersebut dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan (Akta 4) dan layak menerima faedah PERKESO,” kata organisasi berkenaan menerusi WhatsApp.

Malaysia mewajibkan perlindungan PERKESO untuk pekerja asing pada 2019 dan memperluaskan Skim Keilatan kepada golongan itu mulai Julai 2024 bagi menyediakan faedah hilang upaya, pengebumian dan kematian, serta faedah untuk waris. Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

PERKESO telah melindungi pekerja Malaysia sejak 1971 menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Perlindungan perkeso

Riyanie masih mengingati dengan jelas saat-saat mengerikan ketika kereta menghentamnya - tubuhnya melambung ke udara.

Beberapa detik sebelum itu, dia berdiri di tepi jalan menunggu lampu isyarat bertukar hijau untuk melintas, dan kini dia terbaring di tengah-tengah jalan, tidak ubah seperti anak patung kain, dengan darah meliputi seluruh tubuh dan wajahnya. Barang-barang yang ada di dalam beg tangannya bertaburan di sekelilingnya.

“Saya dapat rasa keadaan saya teruk kerana terlalu banyak darah. Tangan saya penuh dengan darah,” katanya kepada Bernama.

Orang awam dan pemandu kereta terbabit yang diselubungi rasa bersalah, membantu Riyanie menghubungi majikannnya serta membawanya ke klinik berdekatan sebelum ke Hospital Putrajaya. Majikannya datang dan menemaninya sepanjang proses rawatan, termasuk membantunya mengisi borang-borang berkaitan.

Sepanjang tempoh itu, dia langsung tidak bimbang tentang akses kepada rawatan perubatan termasuk fisioterapi bagi memulihkan otot bahagian kanan tubuhnya yang cedera.

“Rawatan fisioterapi saya juga disediakan oleh PERKESO - mereka bayar semua,” katanya, menambah majikannya bukan sahaja memastikan dia dilindungi oleh pertubuhan itu sepertimana yang diwajibkan oleh undang-undang tetapi juga mendaftarkannya di bawah skim insurans pekerja yang diberikan oleh kerajaan Indonesia.

Kemalangan itu berlaku pada 6 Mei tahun ini. Riyanie kini sudah sembuh sepenuhnya. Dia menggambarkan keseluruhan proses sebagai lancar, tanpa sebarang masalah. Dia cuma perlu beritahu nombor keahliannya dalam PERKESO kepada kakitangan hospital. Kalau dia tidak ada nombor itupun majikannya akan bantu dia.

Dalam kes Riyanie, sistem itu berfungsi seperti yang dihasratkan.

Perbezaan dalam respons

Kedua-duanya ialah pekerja asing yang mengalami kemalangan di tempat kerja. Kedua-duanya juga dilindungi oleh PERKESO. Namun, nasib mereka amat jauh berbeza.

Pakar berkata dalam hal itu, pokok pangkalnya terletak pada majikan iaitu kesediaan mereka untuk membantu. Bagi pekerja asing yang selalunya datang bersendirian dan tidak mempunyai jaringan sokongan di sini, mereka sangat bergantung pada majikan. Keadaan sama juga mungkin dihadapi oleh pekerja Malaysia yang baru berpindah ke tempat baharu.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran dan Pelarian Majlis Peguam Malaysia Datuk Seri M. Ramachelvam memberitahu Bernama bahawa tanggungjawab terletak pada majikan untuk menghubungi PERKESO apabila berlaku kemalangan.

“Tiada halangan bagi pekerja untuk membuat laporan, cuma mereka mungkin kurang cenderung untuk berbuat demikian kerana kekurangan pengetahuan,” katanya kepada Bernama menerusi Zoom.

Laporan media tentang kemalangan yang melibatkan kecederaan parah atau kematian saja tidak cukup untuk mencetuskan tindakan daripada PERKESO kerana tidak ada cara untuk pertubuhan itu mengetahui siapa pekerja yang terlibat atau adakah mereka pencarum PERKESO.

Menurut undang-undang Malaysia, tidak semua pekerja dilindungi. Pekerja yang berpendapatan lebih daripada RM6,000 tidak diwajibkan memiliki perlindungan PERKESO. Sebelum ini, gaji siling ialah RM4,000 dan dinaikkan kepada RM5,000 pada 1 Sept 2022 sebelum dinaikkan sekali lagi kepada RM6,000 bermula 1 Okt 2024.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA) Zarina Ismail berkata cara PERKESO disusun menjadikan majikan berperanan besar dalam menjaga kebajikan pekerja mereka.

“Sebagai majikan itu memang tanggungjawab kita. Sama ada syarikat besar atau kecil, apabila kita gajikan pekerja, tidak kira pekerja asing atau tempatan, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Di sebalik semua itu, pakar buruh berkata kebanyakan majikan mematuhi peraturan dan menyediakan perlindungan PERKESO serta lain-lain kepada pekerja mereka seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Merapatkan jurang

Memang sudah sedia maklum majikan bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja, namun sistem yang terlalu bergantung pada majikan bagi membolehkan penyaluran bantuan dilakukan, berisiko besar untuk gagal.

Pakar sumber manusia berkata untuk mengelakkan kes seperti Jebaraj, perlu ada perubahan secara sistemik dan juga di peringkat pentadbiran. Pakar-pakar tersebut juga bersetuju bahawa komunikasi yang lebih baik antara agensi kerajaan dapat menutup jurang dalam pelaporan dan perkhidmatan.

Peguam Michael Cheah yang antara lain menangani isu-isu buruh di AmerBON Advocates, menyalahkan agensi kerajaan yang cenderung bekerja secara bersendirian.

“Sistem ini dibangunkan menerusi cara yang menyebabkan setiap pihak beroperasi secara bersendirian, jadi tiada integrasi antara agensi,” tambahnya.

Sependapat, Ramachelvam berkata kewujudan satu prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan laporan diterima oleh sebuah agensi memicu tindakan agensi lain, dapat mengelakkan keciciran kes.

Sebagai contoh, undang-undang mewajibkan pelaporan kemalangan industri kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP). Sekiranya ada kes pekerja mati atau cedera, JKKP yang dimaklumkan boleh memanjangkan kes itu kepada PERKESO.

“Saya tidak nampak kenapa, apabila kes dilaporkan kepada jabatan (JKKP), seharusnya ada SOP untuk jabatan itu memaklumkan juga kepada PERKESO agar PERKESO dapat mengambil tindakan susulan,” katanya.

Perkara itu mungkin akan jadi realiti tidak lama lagi. Malah, ketika ini kerajaan dalam proses pendigitalan dan mungkin perkhidmatan antara agensi akan dihubungkan secara digital, sebagai sebahagian daripada pelan pendigitalan lima tahun yang dilaksanakan oleh Jabatan Digital Negara.

Buat masa ini, Riyanie - masih menjaga ibu majikannya yang telah berusia - menyifatkan dirinya bertuah kerana bekerja dengan keluarga yang patuh undang-undang. Ibu kepada tiga anak yang telah dewasa itu juga yakin kebajikan anak-anaknya akan terbela sekiranya dia meninggal dunia di perantauan.

“Saya tidak risau kerana ada insurans,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Suba pula, pemergian bapanya dalam keadaan seorang diri di bumi asing, masih memilukan hatinya. Kali terakhir dia bertemu bapanya pada 2019 ketika lelaki itu pulang bercuti di India.

“Dia sepatutnya pulang tahun lepas bagi menguruskan perkahwinan saya,” katanya. Akan tetapi, kepulangan Jebaraj pada tahun lepas adalah di dalam keranda tertutup, dikebumikan secara tergesa-gesa pada 2 pagi tanpa kehadiran sami untuk menguruskan ritual keagamaan.

“Saya masih sedih kerana tidak dapat bercakap dengannya sebelum dia meninggal dunia,” katanya - BERNAMA