KUALA LUMPUR: Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi kesemua kategori bangunan meningkat 0.1 peratus hingga 3.6 peratus bagi Malaysia, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi kesemua kategori bangunan meningkat 0.6 peratus hingga 3.4 peratus bagi Semenanjung Malaysia, sementara bagi Sabah pula 0.1 peratus hingga 2.4 peratus dan Sarawak di antara 0.8 peratus dengan 3.6 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IKB tanpa bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat di antara 0.9 peratus dengan 3.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah bangunan konkrit bertetulang (K.T) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) di Terengganu dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan Kerja-kerja Pembinaan Bangunan Dan Struktur April 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Rabu.

Ia memaparkan Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan serta indeks harga seunit bahan binaan utama.

Beliau berkata IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.3 peratus dengan 3.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) di Kota Kinabalu dan bangunan kayu di Kuching, katanya.

Mohd Uzir berkata IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat 0.1 peratus hingga 3.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Beliau berkata kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (K.T.) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) dan bangunan (K.T.) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan dengan 3.1 peratus; Kota Kinabalu di Sabah dengan 2.4 peratus bagi kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) dan bangunan kayu di Kuching dengan 3.6 peratus.

“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ meningkat 2.3 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata peningkatan tertinggi bagi besi direkodkan di Sarawak (3.8 peratus) dan diikuti oleh Kelantan, Terengganu dan Pahang sebanyak 2.4 peratus.

“Harga bagi hampir semua bahan binaan seperti simen, keluli, batu baur, pasir, batu bata dan dinding, bahan bumbung dan bahan siling telah meningkat pada April 2022,” katanya.

Mohd Uzir berkata Laporan Persatuan Keluli Dunia menyatakan pengeluaran keluli mentah dunia bagi 64 negara adalah 161.0 juta tan pada Mac 2022, dengan penurunan sebanyak 5.8 peratus berbanding Mac 2021.

Menurut DOSM, pengeluaran keluli mentah global adalah sebanyak 456.6 juta tan dalam tempoh tiga bulan pertama pada 2022 dengan penurunan sebanyak 6.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Manakala pengeluaran keluli Asia dan Oceania adalah 331.3 juta tan keluli mentah pada suku pertama 2022 dengan penurunan sebanyak 7.8 peratus pada suku pertama 2021

Menurut laporan Bank Dunia, kebanyakan harga komoditi dijangka meningkat pada 2022 dan kekal tinggi dalam jangka sederhana, terutama bagi komoditi yang mana Rusia dan Ukraine merupakan pengeksport utama, termasuk tenaga dan bijirin, tambah DOSM.

“Harga komoditi meningkat dengan mendadak berikutan bermulanya peperangan di Ukraine serta pasca-Covid-19 yang meluas.

“Kenaikan harga tenaga akan meningkatkan kos pengekstrakan dan penapisan bijih logam, terutama aluminium, bijih besi dan keluli,” menurut DOSM. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image