KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan akan berhadapan dengan pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini berikutan skandal rasuah berkaitan pengeluaran lesen perlombongan mineral di negeri ini.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 16(b)(A) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, masing-masing kerana memberi dan menerima rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan penahanan seorang ADUN dan ahli perniagaan pada 18 Jun lalu atas tuduhan meminta dan menerima suapan sekitar RM200,000 berkaitan lesen cari gali.
Menurut sumber, ADUN berusia 60-an dan ahli perniagaan lelaki berusia 30-an itu dipercayai terlibat dalam kesalahan tersebut antara 2023 dan 2024.
Pada 23 Jun lalu, seorang lagi ADUN berusia 40-an yang juga Pembantu Menteri kerajaan negeri ditahan atas tuduhan menerima suapan kira-kira RM150,000 dalam kes yang sama.
“Ahli perniagaan itu dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan dua penjamin selepas selesai memberi keterangan. Manakala kedua-dua ADUN dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin,“ menurut sumber.