• 2025-06-30 12:53 PM

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral pada 2023.

ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob, ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, didakwa menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan lesen cari gali mineral di Sabah. Perbuatan itu dikatakan berlaku di sebuah hotel di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.

Sementara itu, Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, didakwa menerima RM150,000 daripada Tei untuk tujuan yang sama. Insiden itu berlaku di kediaman ADUN tersebut pada 11 malam, 12 Mei 2023.

Tei, 36, pula didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah kepada kedua-dua ADUN tersebut.

Kesemua mereka didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda berat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee dan Rustam Sanip. Yusof dan Andi Muhammad Suryady diwakili peguam Datuk Ram Singh, Shahlan Jufri dan Ridzwandean Borhan, manakala Tei diwakili Edward Paul.

Mahkamah membenarkan Yusof dan Andi Muhammad Suryady diikat jamin RM50,000 setiap seorang, manakala Tei diikat jamin RM60,000. Kes ini akan disebut semula pada 5 Ogos ini, dengan arahan penyerahan pasport dan laporan berkala kepada SPRM.