KUANTAN: Seorang bapa dan anak lelakinya maut apabila motosikal mereka terbabas dan melanggar lampu jalan di KM18 Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran simpang Bukit Ketupat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43, yang bekerja sebagai tukang rumah dan anaknya Muhammad Aisy Afnan, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Muhamad Isyam menunggang motosikal membawa isterinya Munirah Mahmood, 28, Muhammad Aisy Afnan dan seorang lagi anak, Muhammad Umar Affan, 4, dalam perjalanan pulang dari rumah ibu mentuanya ke rumah mereka.

“Muhamad Isyam dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kiri dan melanggar tiang lampu jalan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian turut menyebabkan Munirah dan Muhammad Umar Affan cedera dan kini dirawat di hospital.

Zukri berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.