Your Title

IPOH: Dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki bertembung sebuah lori membawa muatan tayar dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Kampung Kerawat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lima sekeluarga sedang dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, Pahang sebelum bertembung dengan lori satu tan dari arah bertentangan.

“Kenderaan Avanza dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan seorang wanita berusia 50 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun maut di lokasi kejadian.

Menurutnya seorang lelaki berusia 64 tahun yang memandu MPV itu mengalami kecederaan parah manakala dua lagi kanak-kanak perempuan turut cedera sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat lanjut diminta ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863.