• 2025-10-21 03:52 PM

KULIM: Dua individu direman tujuh hari sehingga 27 Oktober untuk membantu siasatan kes letupan mercun semasa sambutan Deepavali di Paya Besar, Lunas.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 34 tahun dan wanita 23 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kulim Nur Hamizah Mat Shah.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki yang mabuk telah membeli mercun jenis kelapa bernilai RM200 dari sebuah khemah jualan berhampiran,“ katanya.

Beliau berkata suspek lelaki meletakkan mercun tersebut ke dalam silinder di tepi jalan sebelum dinyalakan rakannya iaitu suspek wanita.

“Mercun tersebut disyaki dimasukkan secara terbalik oleh suspek lelaki menyebabkan ia meletup ke bawah selepas dibakar rakannya,“ jelas Zulkifli.

Mangsa kejadian terdiri daripada pelbagai kaum termasuk seorang warga Bangladesh yang berada di lokasi untuk menyaksikan sambutan perayaan itu.

Polis mengesahkan 22 individu cedera dalam kejadian tersebut termasuk seorang lelaki parah dengan kecederaan retak tengkorak di dahi.

Mangsa parah itu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat letupan mercun di Paya Besar. – Bernama