GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki dipercayai anggota sindiket along awal bulan ini bagi membantu siasatan kebakaran tiga rumah teres di Tasek Gelugor pada 24 Jun lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan pada 3 Julai dalam dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini.
“Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes khianat dengan api melibatkan kebakaran tiga rumah teres dua,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, suspek turut dipercayai terlibat dalam kejadian simbah cat terhadap sebuah rumah di Tanjong Tokong pada 30 Jun.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas beberapa barang kes termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y16Z, sepasang rim ranggi, topi keledar, telefon bimbit, beg silang, dan pakaian milik suspek. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Mohd Alwi turut memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam lima kes simbah cat yang sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang.
Sebelum ini, media melaporkan tiga rumah, lima kereta, dan empat motosikal di Taman Tasek Gelugor Utama musnah dalam kebakaran pada 4.50 pagi, namun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.