IPOH: Dua lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika mereka sedang mengisi minyak van di bahu jalan KM84.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan van Nissan Vanette dan dua kereta Proton Wira serta Proton Preve pada pukul 9.15 malam.
“Siasatan mendapati van dipandu lelaki 45 tahun bersama dua penumpang berusia 18 dan 30 tahun berhenti di bahu jalan kerana kehabisan minyak,” katanya.
Beliau menjelaskan pemandu dan penumpang van berusia 18 tahun sedang mengisi minyak di tepi jalan ketika Proton Wira dipandu remaja 19 tahun muncul dari arah sama.
“Proton Wira mengelak ke kiri dan hampir melanggar Proton Preve, menyebabkan pemandu Preve terbabas dan melanggar kedua-dua lelaki di tepi jalan,” jelasnya.
Mangsa van cedera parah dengan penumpang disahkan meninggal di tempat kejadian manakala pemandu van meninggal dunia di Hospital Gerik.
Seorang lagi penumpang van serta semua pemandu dan penumpang kereta yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987- Bernama