• 2025-08-18 10:04 PM

KUANTAN: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua lelaki yang dilaporkan hilang sejak minggu lepas, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Muhammad Aliff Syazwan Shah Mohd Nizam, 23, pada 14 Ogos lepas.

“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibu mangsa Mazlianatum Mohamed Salleh, 46, berkata kali terakhir beliau melihat anaknya adalah pada pagi Ahad lepas ketika keluar untuk menunaikan solat Subuh di masjid.

“Dia memang selalu solat di masjid. Sebelum ini, kalau dia keluar, paling lewat pun dua hari, tiga malam akan balik,” katanya.

Mazlianatum berkata anaknya mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berketinggian 180 sentimeter, berbadan sederhana dan kali terakhir dilihat memakai jersi bersama seluar trek.

Ashari turut memaklumkan pihaknya sedang mengesan Cheong Sang Tai @ Cheong Soon Tai, 75, yang dilaporkan hilang sejak Rabu (13 Ogos).

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan- Bernama