• 2025-08-22 03:07 PM

SHAH ALAM: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak di sekitar daerah Kuala Selangor, baru-baru ini.

Muhammad Taufiq Haiqal Edi Fazlee, 22, dan Muhammad Ezkil Mohamad Nor, 29, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammad Redza selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki tempatan melibatkan wang tunai RM700 di premis menjual hasil laut di Pasir Penambang pada 5.30 pagi, 5 Ogos lepas.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita tempatan membabitkan wang tunai RM600 di sebuah kedai runcit sekitar Tanjong Karang pada 6.45 pagi, keesokan harinya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak menawarkan jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh bagi kedua-dua kes dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam S Muthuveeran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan lebih rendah, sebelum mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM8,000 bagi pertuduhan kedua dengan syarat tambahan.

Sementara itu, Muhammad Taufiq menghadapi satu lagi pertuduhan bersama Abdul Hanif Abdul Rahim, 27, di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri beg tangan seorang wanita tempatan di sebuah kedai di Bukit Rotan pada 2.13 petang, 31 Julai lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan penjara dengan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin menawarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sebelum Muthuveeran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, dengan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 30 Sept- BERNAMA