KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah menahan tiga pegawai kanan polis termasuk seorang yang sudah bersara atas tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM110,000.
Wang tersebut dipercayai sebagai balasan untuk melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum di sekitar negeri itu.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos dikeluarkan oleh Majistret Tan Chiew King selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan sekitar pukul 8.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh.
“Siasatan awal mendapati empat suspek terlibat dan kesemuanya disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut dari tahun 2022 hingga 2024. Seorang suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM4,000 hingga RM5,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi sebelum mengagihkannya kepada suspek lain,“ kata sumber tersebut.
Bagaimanapun, seorang suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. - Bernama