• 2025-08-24 08:54 PM

JOHOR BAHRU: Dua pengawal keselamatan yang ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang daripada orang awam di Kota Masai pada Khamis lepas ditahan reman selama seminggu hingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kedua-dua suspek berusia 29 tahun itu ditahan anggota Unit MPV IPD Seri Alam kira-kira 4.30 pagi selepas pemeriksaan terhadap sebuah kereta di stesen minyak Jalan Perdagangan Damai, Kota Masai.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai memperkenalkan diri sebagai polis sebelum mengetuk cermin kereta seorang wanita yang bersama teman lelakinya.

“Mereka kemudian meminta wang RM2,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan berdua-duaan.

“Suspek berjaya dikesan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta, dua telefon bimbit, beg silang, kad pengawal keselamatan, sampul raya, wang tunai RM2,000 dan alat kawalan jauh kereta.

Mohd Sohaimi berkata semakan mendapati seorang daripada suspek memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – Bernama