KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan rejimnya yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas kewarasan.
Anwar berkata keganasan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital serta sekolah di wilayah berkenaan dan pelbagai bentuk kezaliman jelas menunjukkan rejim Zionis sanggup menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.
“Saya sudah berusia 78 tahun belum pernah melihat, baca dan dengar zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.
“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun dituduh Hamas. Ini adalah penyakit,” katanya.
Beliau menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby. – Bernama