MELAKA: Dua anggota pasukan penguat kuasa direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang individu sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan atau ditahan atas kesalahan kononnya berkaitan penjualan dadah bulan lepas.
Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan reman terhadap kedua-dua suspek lelaki, masing-masing berusia 37 dan 26 tahun itu selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka hari ini.
Menurut sumber, mereka ditahan antara 6.25 hingga 6.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Sementara itu Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.