ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan empat motosikal bergesel sesama sendiri di Kilometer 1.7 Lebuhraya Linkedua arah selatan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata kedua-dua mangsa warga tempatan berusia 30 dan 31 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan kanan.
Beliau menyatakan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika keempat-empat penunggang motosikal sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura.
“Mereka bergerak di lorong sebelah kanan sebelum bergesel sesama sendiri sehingga menyebabkan kesemua penunggang terbabas,” katanya.
Akibat perlanggaran itu, dua penunggang maut di lokasi kemalangan manakala dua lagi masih mendapat rawatan di hospital.
Kumarasan memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri. – Bernama