• 2025-08-05 05:28 PM

KANGAR: Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan Chuping Valley Industrial Area (JPPPCVIA) telah meluluskan dua cadangan projek pelaburan bernilai RM1.56 bilion untuk dimasukkan ke kawasan berkenaan di Padang Besar.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata kerajaan negeri belum boleh mendedahkan nama syarikat terlibat kerana proses pelaburan masih di peringkat awal. “Kerajaan perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan mana-mana pihak berkepentingan,“ katanya di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) mengenai status terkini pembangunan CVIA, termasuk jumlah pelabur dan jangkaan operasi industri. “Infrastruktur Fasa 1 seluas 440 ekar telah siap sepenuhnya dan bersedia untuk pelabur,“ jelasnya.

JPPPCVIA, dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, memantau semua perancangan dan kelulusan projek bagi memastikan pembangunan CVIA dilaksanakan dengan terbaik.

Sementara itu, menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan), Mohd Shukri berkata Projek Sanglang Integrated Jetty (SIJ) dijangka bermula selepas Pelabuhan Darat Perlis (PIP) memulakan operasi Fasa 1 pada suku pertama 2026.

“Projek SIJ akan memberi manfaat besar dalam logistik, pelancongan, akuakultur, dan perikanan. Ia juga dijangka mencipta 3,000 peluang pekerjaan,“ katanya.

Mengenai PIP, beliau berkata Fasa 1 projek itu dijangka beroperasi pada 22 September ini. “PIP akan menjadi pusat logistik efisien untuk perdagangan Malaysia-Thailand dan menyokong projek strategik di NCER seperti CVIA dan Chuping Agro Valley,“ jelasnya. - Bernama