KUALA LUMPUR: Dua rakan kongsi sebuah syarikat dan seorang pemandu lori didenda RM200,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor dekat sini hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki minyak diesel tanpa lesen sah.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza turut memerintahkan Chia Yong Zhu, 31, dan rakan kongsi wanita, Eng Ai Peng, 45, serta pemandu lori K. Sukuru, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara 16 bulan jika gagal membayar denda.
Ketiga-tiga OKS membayar denda berkenaan.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria supaya hasil jualan diesel yang dirampas itu bernilai RM113,900, dan lori digunakan Sukuru dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.
Chia dan Eng, yang merupakan pengarah syarikat Soon Wang Trading, didakwa memiliki 25,969 liter minyak diesel, dijumpai di dalam lima unit skid tank dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah di sebuah premis di Pekan Sungai Besar pada 5 petang, 5 Mac 2024.
Sukuru pula berdepan tuduhan memiliki 15,906 liter minyak diesel yang dijumpai di dalam sebuah lori di premis, tarikh dan masa sama.
Mereka didakwa melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual secara runcit atau borong tanpa lesen.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada 5 Mac 2024, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Diraja Malaysia Selangor membuat serbuan dan pemeriksaan di Pusat Jualan Diesel Sungai Besar 2 di Pekan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.
Hasil pemeriksaan menjumpai barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 25,969 liter dalam lima unit skid tank di premis terbabit serta 15,906 liter minyak diesel dalam sebuah lori tangki.
Pendakwaan turut dikendalikan TPR Muhammad Hakiim Izani.