JITRA: Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di susur masuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini pagi tadi. Kejadian berlaku sekitar jam 8.05 pagi selepas polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, suspek enggan mematuhi arahan polis dan melepaskan tembakan terlebih dahulu. “Anggota polis terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri, mengakibatkan kedua-dua suspek maut di tempat kejadian,“ katanya.
Pemeriksaan mendapati dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik, peluru hidup, sebilah parang, serta peralatan jenayah lain ditemui dalam kenderaan suspek. Salah seorang suspek berusia 41 tahun mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau, manakala identiti seorang lagi masih dalam siasatan.
“Kita percaya mereka terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang aktif sejak 2020, melibatkan kes dadah, gangsterisme, pecah kilang, dan samun,“ jelas Fisol. Mayat kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Fadil Marsus turut mengesahkan suspek mungkin mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah di Selangor. “Polis akan terus memperhebat operasi bagi membendung kegiatan jenayah terancang ini,“ katanya.