PUTRAJAYA: Dua syarikat, iaitu pembekal ais dan pengeluar makanan sejuk beku, bersetuju menangguhkan kenaikan harga produk masing-masing selepas dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberikan penjelasan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kedua-dua syarikat telah dinasihatkan supaya merujuk kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN sebelum membuat sebarang perubahan harga.
“Kedua-dua syarikat ini telah maklumkan pada 1 Julai lepas bahawa mereka menangguhkan untuk menaikkan harga. Kita nasihatkan sekiranya benar, ada maklumat tertentu yang perlu mereka bekalkan yang dituntut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,“ katanya.
Armizan menegaskan bahawa kenaikan harga produk tidak berkaitan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sebaliknya disebabkan oleh peningkatan kos operasi.
Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd akan menaikkan harga ais daripada RM3.70 kepada RM6, manakala Ramly Burger didakwa akan menaikkan harga produk sebanyak 10 peratus mulai 1 Julai 2025.
Syarikat pembekal ais telah menafikan dakwaan tersebut dan melaporkan kes itu kepada polis. Sementara itu, Ramly Burger telah diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 bagi menjelaskan asas cadangan kenaikan harga.
KPDN akan terus memantau dan menyiasat sebarang unsur pencatutan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga yang tidak berasas.