GUA MUSANG: Syahira Hamid, wanita Orang Asli yang kehilangan suami akibat dibaham harimau belang kira-kira dua tahun lepas, kini bangkit meneruskan kehidupan bersama dua anak perempuan hasil bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ibu berusia 22 tahun dari Kampung Sugi, Pos Pasik berkata walaupun kesedihan disebabkan pemergian suami, Pisie Amud, 25, masih dirasai, dia reda dengan takdir yang tertulis untuk dirinya.
“Hidup tetap perlu diteruskan. Saya kini reda dengan ketentuan dan berusaha membesarkan dua anak kami, Nur Haura, 2, dan Finka, 4, sebaik mungkin,“ katanya kepada pemberita di Pos Pasik, di sini.
Syahira berkata tragedi hitam itu berlaku ketika arwah suaminya keluar menyumpit di hutan di Pos Pasik untuk mencari rezeki buat keluarga.
“Saya tidak bekerja, namun kami mendapat bantuan bulanan kira-kira RM900 daripada PERKESO atas sumbangan pekerjaan arwah sebagai Renjer Komuniti (Pelindung) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
Bagaimanapun, wanita daripada suku kaum Temiar itu mengakui masih belum mampu menjejakkan kaki ke pusara suaminya kerana emosi belum pulih sepenuhnya.
Sementara itu, datuk kepada Pisie, Aznan Siam, 59, menyifatkan Syahira sebagai wanita yang cekal dan tabah membesarkan anak-anak kecil tanpa suami di sisi.
Aznan sendiri masih belum dapat melupakan kejadian yang meragut nyawa cucunya itu, apatah lagi dia merupakan antara sukarelawan yang menemukan jasad mangsa dalam keadaan menyayat hati.
“Hingga kini saya masih terbayangkan kesan cakaran kuku harimau pada kepala dan badan Pisie, sebelah kakinya juga hilang akibat serangan itu.
“Kami menjumpai motosikal dan peralatan menyumpit miliknya serta kesan tapak kaki harimau di kawasan kejadian. Sejak tragedi itu, penduduk kampung tidak berani masuk ke hutan bersendirian kerana bimbang akan keselamatan diri,“ katanya.
Pada 3 Okt 2023, Pisie dilaporkan maut diserang harimau belang ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran kampungnya dan mayatnya ditemukan oleh penduduk kampung.