• 2025-10-15 06:53 PM

JASIN: Dua buruh binaan warga Bangladesh ditemukan maut di sebuah rumah di Durian Tunggal, Alor Gajah petang semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 31 dan 42 tahun itu merupakan rakan serumah dan bekerja di kawasan berdekatan.

Mangsa berusia 42 tahun ditemukan terbaring di dapur dalam keadaan berlumuran darah dengan 21 kesan tikaman pada seluruh badan.

Mangsa kedua yang berusia 31 tahun pula ditemukan tergantung pada kipas siling di bilik.

Polis turut menemukan dua pisau dan sebilah parang di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kejadian tersebut.

Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah peribadi antara dua lelaki tersebut.

Masalah peribadi itu dikaitkan dengan isteri kepada lelaki berusia 31 tahun yang merupakan warga Indonesia.

Wanita itu difahamkan tinggal di rumah sama namun keluar bersama bayi mereka berusia tiga bulan kira-kira dua minggu lepas.

Seorang lagi lelaki Bangladesh berusia 30-an yang turut tinggal di rumah itu menyedari kejadian selepas pulang dari tempat kerja pada kira-kira 7 malam.

Jiran juga memaklumkan mendengar bunyi bising dari rumah berkenaan sebelum kejadian disedari.

Lelaki berkenaan mendapati pintu rumah berkunci lalu meminta bantuan jiran dan polis.

Dzulkhairi berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Norehan Omar menerusi talian 06-556 2222. – Bernama