KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas 114 tan metrik karkas babi bernilai RM3.05 juta dalam operasi membendung pemindahan haram produk ternakan itu dari Januari hingga Julai 2024.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata rampasan dilakukan di premis jualan dan stor sejuk beku di Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Labuan.
“Dalam tempoh sama, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan penyeludupan 640 tan metrik daging khinzir dengan 24 tangkapan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Arthur menjelaskan kementeriannya melalui MAQIS dan DVS terus memperketat kawalan import bagi membendung penyeludupan daging babi dari negara berisiko penyakit seperti Streptococcus Suis dan African Swine Fever (ASF).
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai langkah mengawal pengimportan haram daging khinzir terutama dari Thailand dan negara lain yang mempunyai wabak berbahaya.
“MAQIS melaksanakan pemeriksaan dokumen termasuk permit import dan sijil veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena di sempadan,” katanya.
Prosedur persampelan produk khinzir turut dijalankan bagi memastikan ia bebas penyakit sebelum dibenarkan masuk ke pasaran tempatan. – Bernama