PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah merekodkan keterangan seorang lelaki dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah kondominium di Kajang, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, DVS memaklumkan kertas siasatan berkaitan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Susulan aduan orang ramai, DVS telah membuat pemeriksaan awal di lokasi kejadian pada 11 pagi, 2 Julai lepas dan mendapati anjing Husky tersebut telah dibawa keluar oleh orang awam dari lokasi kejadian ke klinik haiwan swasta yang terletak di sekitar Kota Damansara, seterusnya DVS telah mengambil milik anjing Husky tersebut untuk tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut oleh pegawai veterinar,” kata DVS.

Menurut DVS, kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan di bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, DVS turut menegaskan bahawa jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan anjing Husky tersebut sebelum ini seperti mana yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

“DVS memandang serius tindakan mana-mana individu yang membuat tuduhan palsu di rangkaian media dan aplikasi sosial,“ kata DVS yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian.

Aduan terhadap kebajikan haiwan boleh disalurkan kepada DVS menerusi pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) dan orang awam dinasihati untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menganggu siasatan.