• 2025-07-14 03:25 PM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku kecuaian dalam pengurusan tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah oleh pegawai-pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Menurut kenyataan itu, individu terlibat telah disahkan positif dadah oleh makmal patologi hospital awam.

“Siasatan mendapati terdapat kecuaian pegawai AADK yang gagal memastikan individu terbabit menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan, selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Kegagalan ini menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan, apabila individu tersebut tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan,” menurut kenyataan EAIC.

Kenyataan EAIC itu memaklumkan siasatan juga mendapati, wujud kegagalan dalam usaha mengesan semula individu berkenaan, walaupun beberapa operasi didakwa telah dijalankan, namun tiada bukti dokumentasi yang kukuh dapat mengesahkan tindakan pengesanan tersebut benar-benar ditumpukan kepada individu terbabit.

Kenyataan memaklumkan kegagalan pihak pengurusan AADK peringkat daerah dalam memantau dan menyelia pegawai bawahan dengan berkesan, membawa kepada pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes, menyebabkan kes masih tidak diselesaikan dan ditutup sehingga kini.

Selain itu, siasatan juga mengesan kelemahan dalam SOP pengesanan individu yang gagal hadir, termasuk garis panduan bagi pegawai penguat kuasa AADK untuk memasuki premis bagi tujuan penahanan individu yang disyaki.

“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(j), peraturan yang sama.

“EAIC turut merujuk hasil siasatan ini kepada Ketua Pengarah AADK bagi tujuan penambahbaikan SOP penahanan individu yang disyaki menagih dadah, agar pelaksanaan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan secara lebih proaktif dan berkesan,” menurut kenyataan itu- BERNAMA