• 2025-07-28 10:26 AM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengemukakan syor tindakan jenayah terhadap beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan visa perubatan kepada warga asing secara tidak sah.

EAIC memaklumkan siasatan dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas diketuai Pesuruhjaya EAIC Datuk Seri Dr Razali Ab Malik, berhubung pengeluaran pas lawatan sosial bagi kategori visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

Menurut EAIC, antara tindakan siasatan yang dijalankan termasuk semakan tatacara kelulusan, pengambilan keterangan saksi, penyitaan dokumen dan penyediaan syor tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pegawai imigresen yang meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara, walaupun menyedari dokumen permohonan yang dikemukakan adalah tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bil. 10/2001,“ menurut kenyataannya di sini hari ini.

Berikutan penemuan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara selaras dengan Perenggan 30(1)(c) Akta 700.

EAIC memaklumkan syor pertuduhan jenayah dibuat terhadap pegawai terlibat di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan/atau Akta Pasport 1966 [Akta 150]- BERNAMA