KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menyelesaikan kerja-kerja pengorekan 38 terowong di sepanjang jajaran rel setakat ini, berikutan dua kejayaan di Selangor awal minggu ini.
Kejayaan ini direkodkan dengan kejayaan penembusan sepanjang 3.50 kilometer Terowong Serendah 1 pada 7 April 2025, dua bulan lebih awal daripada jadual, menjadikannya sebagai terowong ke-38 yang berjaya disiapkan.
Sehari sebelumnya, pada 6 April, projek itu mencatatkan kejayaan ke-37 dengan selesai kerja-kerja pengorekan Terowong Rawang-Bestari Jaya yang memiliki kepanjangan 189 meter.
“Dengan penembusan kedua-dua terowong, ECRL kini telah mencapai 38 penembusan daripada 41 terowong yang dirancang sepanjang jajaran rel,“ kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) melalui satu kenyataan bersama.
Tiga terowong yang masih dalam proses pengorekan ialah Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer dan Terowong Serendah 2 sepanjang 9.85 kilometer.
“Terowong Berkembar Genting, yang kini berada dalam fasa akhir pengorekan menggunakan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih, dijangka akan ditembusi menjelang pertengahan 2025. Sementara itu, Terowong Serendah 2, yang menggunakan kaedah gerudi dan letup, disasarkan untuk mencatat penembusan pada suku ketiga 2025,“ katanya.
Pada 7 April 2025, letupan terakhir di Terowong Serendah 1 telah menembusi penghadang terakhir kira-kira 2,046 meter dari pintu keluar terowong tersebut. Pencapaian ini merupakan hasil daripada kira-kira 894,920 jam tenaga kerja serta penggunaan kaedah pengorekan gerudi dan letup yang menembusi kebanyakannya granit lapuk di kawasan terbabit.
Kerja-kerja pemasangan lapisan kekal bagi ‘Terowong Serendah 1’ telah mencapai kemajuan membanggakan sejauh 2,500 meter sebelum penembusan berlaku. Terowong ini mempunyai purata ketinggian 12 meter dan lebar 13 meter, sekali gus mampu menampung dua landasan rel berukuran standard apabila siap sepenuhnya.
Kerja-kerja pengorekan bagi Terowong Serendah 1 telah dimulakan pada November 2022, ia dijadualkan selesai menjelang 31 Mei 2025 dan kesemua kerja-kerja awan dijangka siap pada Januari 2026.
Kenyataan itu menjelaskan pembinaan Terowong Serendah 1 akan membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta meminimumkan impak terhadap kawasan tadahan air seperti Empangan Batu dan mengurangkan penebangan hutan terbuka di Hutan Rekreasi Sungai Tua.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata kerja-kerja pengorekan yang lancar di Terowong Serendah 1 dan Terowong Rawang-Bestari Jaya adalah hasil daripada pengunaan teknologi pengorekan terowong termaju serta amalan pembinaan yang selamat.
“Kami mencatatkan satu pencapaian penting dengan pengorekan Terowong Serendah 1 sepanjang 3.50 kilometer yang merupakan elemen utama dalam jajaran ECRL yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor. Sebanyak 512,582 meter padu tanah dan batuan telah dikeluarkan dengan selamat, dengan pergerakan tanah yang minimum,“ katanya.
Pengarah Urusan CCCECRL Deng Bo turut mengesahkan komitmen syarikat itu dalam mengekalkan momentum projek dan memastikan penghantaran tepat pada masanya.
“Kami komited dalam memastikan piawaian keselamatan dan kualiti infrastruktur kereta api mega negara Malaysia berada pada tahap tertinggi, bagi mengukuhkan kesalinghubungan antara pantai timur dan pantai barat,“ katanya.
Pembinaan Fasa 1 Projek ECRL yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, dengan operasi dijangka bermula pada Januari 2027.
Manakala, pembinaan Fasa 2 yang menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2028.
Kereta api elektrik (EMU) ECRL untuk penumpang mampu bergerak pada kelajuan maksimum 160 km/j dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak dalam masa empat jam berbanding tujuh jam melalui pengangkutan jalan raya atau lebih daripada 12 jam semasa musim perayaan.
MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah pemilik projek ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek tersebut.