TANGKAK: Remaja lelaki berusia 14 tahun Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy yang dilaporkan hilang pada Ahad lepas, pulang ke kediamannya di Jalan Kerayong, Rumah Rakyat 1 Pagoh di sini hari ini, dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata perkara berkenaan dilaporkan ahli keluarga remaja itu kepada pihak polis kira-kira pukul 11.30 pagi tadi dan kini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sedang melaksanakan sisatan terperinci berhubung kehilangan remaja berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal dan pemerhatian luaran remaja terbabit menunjukkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius, namun polis menasihatkan supaya orang ramai perlu menunggu hasil siasatan dan kenyataan polis terlebih dahulu.

“Keluarga memaklumkan remaja berkenaan pulang sendiri ke kediamannya ... dan ketika ditanya, remaja itu memaklumkan dia berada di kawasan berdekatan sepanjang dilaporkan hilang.

“Bagi kejadian kehilangan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku sekarang ini, saya menasihatkan kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak sentiasa dalam perhatian dan pemerhatian mereka agar kejadian seperti ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita 2024 di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Kumar berkata setiap pergerakan anak-anak perlu diambil tahu termasuk pergerakan pergi dan balik ke sekolah serta pergaulan mereka.

Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya pada Ahad setelah tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh yang jaraknya hanya 200 meter dari kediamannya.

Sementara itu, berkaitan dengan program Taman Angkat Amanita 2024, polis Johor menyasarkan 10 taman perumahan di negeri itu menjadi taman angkat pasukan polis dalam program cegah jenayah.

Beliau berkata selain Taman Tangkak Jaya di Tangkak, lima taman perumahan yang menjadi taman angkat Amanita ialah Taman Nusantara di Gelang Patah, Perumahan Flat Larkin, Taman Yayasan Buloh Kasap, Taman Wawasan di Mersing dan Taman Sierra Perdana.

“Sekarang sudah ada enam perumahan dan dijangkakan empat lagi perumahan akan dijadikan taman angkat.

“Kita juga sasarkan setiap daerah sekurang-kurangnya ada satu perumahan yang dipilih berdasarkan jumlah dan kepadatan penduduk, serta dalam masa yang sama kesedaran mencegah jenayah dapat dipertingkatkan,” katanya.