JOHOR BHARU: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan kerugian RM48,000, tahun lepas.

S. Shaminee, 43, dituduh melakukan kesalahan itu bersama-sama seorang pegawai penyiasat polis Insp V. Lavanya, 37, yang tidak hadir semasa prosiding itu kerana sedang cuti sakit hingga 24 Mac ini.

Shaminee didakwa bersama-sama pegawai polis itu menipu seorang lelaki berusia 44 tahun dan wanita berumur 33 tahun kononnya dia adalah peguam yang boleh membantu menyelesaikan kes menggaji pembantu rumah tanpa permit serta membekalkan pembantu rumah tanpa lesen sah membabitkan ibu mentua wanita itu yang sedang disiasat Lavanya, sedangkan siasatan itu tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa masing-masing menyerahkan wang tunai RM24,000 menerusi dalam talian dan kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 17 Mac 2024.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Asmah Zainal Ariffin mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Shaminee memohon jaminan RM3,000 dengan alasan anak guamnya yang merupakan ibu kepada dua anak menghadapi masalah kewangan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.