KOTA BHARU: Seorang ejen sindiket penyeludupan manusia melibatkan pendatang tanpa izin direman tiga hari bagi membantu siasatan kes cuba menyogok polis.
Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi membenarkan lelaki berumur 25 tahun itu ditahan reman hari ini hingga Ahad susulan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Suspek dipercayai cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 untuk melindungi kegiatan haram berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, media melaporkan tindakan ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis untuk melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan pendatang di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada 9 Dis lepas, mengundang padah apabila ditahan polis.