• 2025-08-08 08:36 PM

KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi keutamaan dalam melaksanakan tugas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata setiap tindakan dan keputusan pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan untuk memimpin dengan memberi tumpuan kepada keutamaan yang tepat.

“Saya berharap pimpinan tertinggi PDRM dapat memberikan kerjasama tidak berbelah bahagi (dan) mengenal pasti permasalahan dalam pasukan serta jabatan masing-masing. Saya percaya (kepimpinan) memahami tugas dan tanggungjawab dengan baik dan sempurna serta mengetahui yang mana dahulu, yang mana ke belakang.

“Semua orang mengatakan mereka sibuk, terlibat dalam banyak urusan tetapi dengan sikap kita yang positif dan mengetahui mana perlu didahulukan penting dalam memastikan pelaksanaan yang telah ditetapkan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Mess Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata keutamaan itu perlu diberi perhatian khusus berikutan beberapa insiden kebelakangan ini yang dilihat begitu menular termasuk kes pembunuhan dan kematian.

“Saya berharap semua (kepimpinan tertinggi) terutama pengarah JSJ baharu dapat mendepani permasalahan ini dengan baik dan sempurna. Beri keutamaan dan lihat apa laungan rakyat yang memerlukan perhatian semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khalid menyaksikan penyerahan nota serah terima tugas dan tongkat kuasa jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman daripada pemangku pengarah Datuk Fadil Marsus kepada Datuk M. Kumar.

Kumar mengambil alih tugas Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Mohd Khalid menyifatkan pelantikan Kumar sebagai tepat berdasarkan pengalaman luas dalam bidang penyiasatan dan perancangan strategik.

JSJ, menurut beliau kini berdepan cabaran keselamatan pelbagai bentuk termasuk jenayah moden melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti penggunaan perisian tersembunyi, deepfake, perisian hasad dan platform digital gelap.

Bagi mendepani cabaran itu, Mohd Khalid berkata JSJ perlu mengadaptasi pendekatan berasaskan teknologi tinggi serta memperkukuh kepakaran forensik digital bagi meningkatkan kualiti penyiasatan.

“Kolaborasi rentas agensi dan kerjasama serantau serta antarabangsa juga perlu dipertingkatkan untuk memastikan penyiasatan yang berkualiti, berintegriti dan berimpak tinggi,” katanya.

Mohd Khalid turut menzahirkan harapan Kumar membawa arus perubahan positif dan signifikan, demi memacu keberdayaan jabatan dalam menghadapi cabaran masa kini untuk kesejahteraan masyarakat serta keselamatan negara.

Beliau turut mengingatkan prosedur penyiasatan perlu diteliti dan dipatuhi dengan penuh tertib bagi memastikan kualiti siasatan berada pada tahap tertinggi dan menyumbang kepada kejayaan pendakwaan- BERNAMA