GEORGE TOWN: Seorang eksekutif broker saham mengalami kerugian besar mencecah RM1.24 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.
Kejadian berlaku bulan lepas apabila wanita berusia 47 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran dan pegawai polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, mangsa menerima panggilan pada 20 Jun lalu yang memaklumkan terdapat bungkusan menggunakan namanya telah ditahan polis.
Panggilan tersebut kemudian disambungkan ke balai polis di Terengganu, di mana suspek berpura-pura sebagai pegawai polis memberitahu akaun bank mangsa disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa diberi amaran untuk menyerahkan semua wang bagi tujuan audit atau waran tangkap akan dikeluarkan.
Akibat tekanan, mangsa melakukan 26 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke lima akaun bank yang diberikan suspek dari 26 hingga 30 Jun.
Barulah mangsa sedar diperdaya selepas berkongsi kejadian itu dengan ahli keluarga dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.