SHAH ALAM: Empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah, Klang hari ini.
Kejadian pada jam 9.07 pagi melibatkan dua lori membawa muatan tanah dan sampah serta dua kereta Perodua Myvi.
Tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Mangsa telah berjaya dikeluarkan daripada kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan butiran kejadian dalam kenyataan media.
Operasi penyelamatan melibatkan lima anggota bomba dan sebuah jentera Fire Rescue Tender dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah lori tanah dipercayai gagal dikawal dan merempuh tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat. – Bernama