JOHOR BAHRU: Empat individu termasuk dua wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah dengan jumlah berat melebihi 13 kilogram.
Kesemua tertuduh tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Tertuduh terdiri daripada Ching Hin Leong, 46, Tay Wei Bin, 36, Pham Thi Quy, 26, dan Nong Thi Nhinh, 29.
Mereka didakwa mengedar dadah jenis serbuk MDMA seberat 12,090 gram dan pil MDMA seberat 375 gram di sebuah unit kediaman di R&F Tanjung Puteri pada 19 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan.
Dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Johor, lima individu ditahan dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 3 September untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah berasingan, tertuduh juga didakwa memiliki methamphetamine (7 gram), nimetazepam (520 gram), dan ketamin (25 gram) di lokasi sama.
Pertuduhan ini membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta denda maksimum RM100,000.
Ching turut didakwa secara individu atas tiga pertuduhan lain termasuk mengedar MDMA seberat 4,645 gram di Pangsapuri Vista Puteri.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. – Bernama