KLANG: Empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor berganding bahu melaksanakan Op Empat Penjuru bagi membanteras aktiviti jenayah sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata operasi yang bermula pada hari ini hingga 6 April itu melibatkan IPD Klang Utara, Klang Selatan, Shah Alam dan Kuala Langat.
Beliau berkata antara penekanan yang diambil semasa operasi berkenaan ialah melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi indeks jenayah yang tinggi bagi mengehadkan pergerakan penjenayah sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah di IPD masing-masing.
“Bagi peringkat IPD Klang Utara, kita akan mengadakan SJR di beberapa kawasan terpilih sepanjang 24 jam selama dua minggu bagi mengesan pergerakan penjenayah.
“Tujuan operasi ini adalah untuk pencegahan jenayah sebab kalau fokus satu IPD sahaja, penjenayah akan bebas bergerak. Misalnya dia (penjenayah) buat di IPD Klang Utara, dia akan lari ke Klang Selatan atau Shah Alam dan Kuala Langat, semuanya bersempadan dan wajar dilaksanakan dalam empat penjuru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat IPD Klang Utara di Plaza Tol Bukit Raja Grand Sepadu di sini hari ini.
Terdahulu, Vijaya Rao yang diiringi Pengurus Besar Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd Abdul Razak Hashim turun padang berkempen dan beramah mesra dengan pengguna plaza tol sambil menyerahkan sumbangan kuih raya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial juga dilibatkan dalam operasi terbabit bagi mengesan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
Vijaya Rao berkata semua jabatan berkenaan turut menyumbang kepada Op Cantas yang dilaksanakan serentak bagi mengesan suspek terlibat dalam kegiatan kongsi gelap menerusi kaedah snap check.
Dalam perkembangan lain, Vijaya Rao memaklumkan indeks jenayah di daerah Klang Utara mencatat penurunan 14 peratus (38 kes) bagi dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.