• 2025-08-07 02:32 PM

KUALA TERENGGANU: Empat universiti awam bergabung tenaga dalam menganjurkan Program Bakti MADANI@Pasir Raja bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan jati diri dalam kalangan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata program ini berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Melalui program ini, UMT, UniMAP, UTHM dan UUM memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti luar bandar selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izani menjelaskan program di Kampung Pasir Raja, Dungun mengetengahkan pembelajaran luar bilik darjah untuk mahasiswa memahami kehidupan masyarakat desa.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah program Keluarga Angkat di mana mahasiswa tinggal bersama penduduk tempatan untuk memahami budaya setempat.

Aktiviti lain termasuk gotong-royong, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, dan sukan rakyat untuk mengeratkan hubungan antara peserta dan penduduk.

Penduduk kampung juga mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma serta servis penukaran minyak hitam motosikal.

Sebahagian penduduk turut menerima sumbangan lampu solar sebagai sebahagian daripada inisiatif program ini.

Kerjasama strategik antara universiti dan agensi kerajaan serta swasta menjayakan program yang selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani - BERNAMA