KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya Endrick Dos Santos tekad memanfaatkan pengalaman beraksi di liga Vietnam untuk membantu pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif menentang Golden Star Warriors itu dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027, Selasa ini.

Endrick, yang kini dipinjamkan kepada pasukan Ho Chi Minh City dalam Liga-V 1 musim 2024-2025, berkata beliau bekerjasama erat dengan kejurulatihan untuk memberi idea dan input taktikal yang boleh membantu Malaysia mencipta kemenangan ke atas Vietnam, sesuatu yang tidak pernah dicapai sejak 2014.

“Banyak kali kami datang bersedia. Kami juga ada pakar analisis kami yang mengkaji permainan mereka. Mereka pantas, kuat dan agresif, tetapi mereka juga ada kelemahan.

“Jadi kami berlatih bersungguh-sungguh, ikut pelan jurulatih, dan saya yakin kami dalam kedudukan yang baik untuk beraksi cemerlang semula,” katanya pada sidang media hari ini.

Sejak kali terakhir menundukkan Vietnam 11 tahun lepas, Malaysia mengalami tujuh kekalahan dan satu seri daripada lapan perlawanan.

Dalam pertembungan terbaharu, Vietnam mencatat kejayaan 3-0 dalam peringkat kumpulan Piala AFF atau kini dikenali sebagai Kejohanan Bola Sepak ASEAN.

Ditanya mengenai persaingan mendapatkan kedudukan pemain tengah dalam skuad, Endrick mengakui ia bukan tugas mudah.

“Ia sukar, tetapi itu sesuatu yang bagus untuk pasukan. Ia menunjukkan pilihan pemain tengah kita sekarang kuat dan kompetitif,” tambahnya.