• 2025-08-23 02:44 PM

KLUANG: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan akan mula beroperasi pada 30 Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ia melibatkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) - Kluang - KL Sentral.

“Pembelian tiket boleh dibuat mulai 8 malam ini melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur hari ini.

Usai Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim berkenan untuk memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencecah kelajuan operasi hingga 140 km/j itu, menuju ke Stesen Kluang di Johor.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) yang telah tiba di Malaysia, kini sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini.

Beliau berkata baki lapan lagi set tren ETS3 sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan CRRC Rolling Stock Center di Batu Gajah, Perak dengan kesemua 10 tren dijadual beroperasi sepenuhnya awal tahun depan. – Bernama