OSAKA: “Roti Canai Terbang” menjadi tarikan ramai di Expo 2025 Osaka, menarik perhatian pengunjung ke Pavilion Malaysia dengan aksi penyediaan yang memukau serta aroma mentega yang memikat selera.
Aksi Muhammad Muiz Ruzaini dan Mohamad Zul Imran Zulkifle melambung roti canai tinggi ke udara sambil disertai bau harum mentega yang menyelerakan, berjaya menarik minat pengunjung, malah ada yang sanggup beratur sehingga dua jam, semata-mata untuk merasainya.
Muhammad Muiz, penebar roti canai dari Kedah berkata beliau tidak menyangka akan terpilih sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Expo 2025 Osaka, bagi memperkenalkan keenakan masakan Malaysia di pentas dunia.
“Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna ialah sambutan hangat daripada pengunjung,” katanya.
“Ramai yang memuji keenakan roti canai ini dan memberikan maklum balas yang sangat memuaskan, baik dari segi rasa mahupun persembahan kami.”
“Selepas mereka makan, ramai yang datang semula dan berkata ‘oishī’ (atau enak). Malah, ada yang ulang sampai tujuh kali,” katanya sambil menambah bahawa kebanyakan pengunjung itu dari Jepun, Korea Selatan dan China.
Roti canai yang dimasak segar itu dihidangkan bersama kari ayam dan dhal, dijual pada harga 1,680 yen setiap set.
Jualan harian mencecah antara 1,000 hingga 1,600 keping, menunjukkan popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan pengunjung dari Jepun, Korea Selatan, China dan negara-negara lain.
Roti canai ialah roti leper yang digoreng atas kuali leper dan amat popular sebagai hidangan sarapan di Malaysia. Ia diperbuat daripada campuran tepung, air, garam, mentega dan telur.
Dohnya diuli dan diuli semula sebelum diregang, dilambung dan diputar di udara, untuk menghasilkan tekstur berlapis yang rangup dan berkerak di luar, tetapi lembut di dalam.
Pada tahun 2023, TAsteAtlas iaitu sebuah pangkalan data makanan global, telah meletakkan roti canai dalam senarai “100 Makanan Jalanan Terbaik Dunia”.
Sementara itu, Mohamad Zul Imran, seorang lagi penebar roti canai dari Pulau Pinang, menyatakan harapan agar populariti roti canai yang semakin meningkat di Ekspo itu, dapat mengangkat hidangan tersebut ke peta kulinari dunia serta menarik lebih ramai pelancong untuk melawat Malaysia.
“Saya berharap roti canai di Pavilion Malaysiamenjadi hidangan nombor satu di Expo 2025,” katanya.
Pelawat dari Jepun, Yoko Yoshinaga, menyifatkan roti canai sebagai “manis, mempunyai tekstur unik dan sangat ketagih”.
“Ini kali kedua saya makan roti canai. Kali pertama saya nampak di X (dahulu Twitter), dan rasa yang tidak dapat dilupakan itu, buatkan saya datang semula. Saya sanggup beratur sekali lagi hanya untuk alami semula pengalaman itu,” katanya.
Yoshinaga, yang pernah melawat Malaysia 30 tahun lepas, memuji kemajuan negara dan menyifatkannya sebagai sebuah negara yang aman dan moden.
Seorang lagi pelawat Hanako Sekimukai yang mencuba roti canai buat kali pertama, berkata beliau teruja dan kagum dengan rasanya.
“Saya pernah ke Malaysia sebelum ini, tetapi tidak berkesempatan mencuba roti canai. Kari ayam yang dihidangkan bersama tidak terlalu pedas, menjadikan hidangan ini lebih menyelerakan,” katanya sambil menambah bahawa persembahan kebudayaan di pavilion tersebut, membangkitkan kenangan manis ketika berada di Malaysia.
Pavilion Malaysia yang terletak di tapak seluas 2,654.52 meter persegi dan mempunyai tiga tingkat itu, mencerminkan kepelbagaian budaya dan ekonomik dinamik negara.
Di bawah tema “Menenun Masa Depan dalam Keharmonian”, pavilion ini menonjolkan komitmen Malaysia terhadap masa depan yang lestari, inklusif dan berwawasan.