TUMPAT: Menjelang Aidiladha Mohammad Zunurain Daud, 37, tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pisau lapah bagi digunakan ketika ibadah korban.
Mohammad Zunurain yang mesra disapa Zul berkata kebiasaannya sebulan sebelum perayaan Aidiladha, permintaan alatan itu meningkat hampir dua hingga tiga kali ganda sekali gus menjadi lubuk rezeki bermusim baginya untuk menjana pendapatan.
Beliau berkata sekiranya pada bulan biasa, dia hanya mampu meraih tempahan pisau lapah sekitar 20 hingga 30 bilah sahaja, namun permintaan itu akan melonjak sehingga mencecah lebih 150 bilah untuk digunakan bagi melakukan ibadah penyembelihan nanti.
“Pisau lapah itu mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan di seluruh negeri, termasuk di Singapura dan Thailand apabila menjelang Hari Raya Aidiladha. Malah, setakat ini saya juga terpaksa menolak tempahan yang dilakukan oleh pelanggan di saat-saat akhir kerana khuatir tidak dapat memenuhi permintaan itu.
“Setiap bilah pisau lapah ini dijual pada harga RM100 hingga RM160, bergantung kepada jenis besi yang digunakan. Selain pisau lapah, saya juga turut menghasilkan pisau sembelih yang mampu mencecah RM300 sebilah,“ katanya ketika ditemui Bernama di bengkel miliknya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Zul yang telah berkecimpung dalam pembuatan alatan tajam sejak tahun 2014 itu berkata dia memperoleh ilham untuk menghasilkan alatan berkenaan selepas sering kali melihat arwah datuknya Ahmad Bakar mengasah pisau bagi kegunaan sendiri.
Hanya berpandukan kepada sosial media, iaitu YouTube serta mempelajari ilmu daripada beberapa tukang pisau yang mahir, Zul berkata dia kemudian mencuba nasib mempelajari kaedah dan teknik pembuatan itu dengan mengambil masa hampir sebulan sebelum berjaya menghasilkan sebilah pisau.
Lebih menarik, penghasilan alatan tajam yang diusahakannya masih mengekalkan cara tradisional, iaitu menggunakan arang sebagai bahan utama bagi proses menempa senjata berbanding menggunakan kaedah gas yang akan memakan kos lebih tinggi.
“Setiap hari saya memerlukan kira-kira 30 kilogram (kg) arang yang diperoleh dari pembekal tempatan untuk menyiapkan sekitar tiga hingga lima bilah pisau. Sementara, sekitar 200 gram besi pula diperlukan untuk menghasilkan sebilah pisau yang mana setiap pisau memerlukan masa sekitar dua hingga tiga jam untuk disiapkan.
“Dari segi penggunaan besi untuk menghasilkan pisau pula, saya hanya menggunakan besi yang dipilih bagi menjamin kualiti pisau yang dihasilkan. Kebiasaannya besi jenis spring, bearing dan mata ketam sahaja digunakan untuk menghasilkan sebilah pisau,“ katanya.
Bercerita mengenai cabaran dan risiko dalam pembuatan, Zul berkata ia membabitkan proses sepuh, iaitu bagi mengeraskan bahan alatan mengikut jenis besi bagi mendapatkan ketajaman dan ketahanan yang baik.
Proses berkenaan amat berisiko memandangkan ia perlu dilakukan dengan teliti kerana dikhuatiri sekiranya tersalah percaturan akan menyebabkan pisau yang dihasilkan menjadi pecah sekali gus tidak dapat digunakan lagi.
“Selepas besi dipilih mengikut saiz yang diperlukan, iaitu kebiasaannya berukuran tujuh hingga sembilan inci bagi pisau lapah, manakala 11 inci hingga 15 inci bagi pisau sembelih ia akan melalui proses sepuh, iaitu dibakar dengan arang sebelum diketuk menggunakan penukul atau mesin canai untuk membentuk pisau yang dikehendaki.
“Sebaik mendapat bentuk dikehendaki, alatan itu akan diasah menggunakan tiga jenis batu asahan menggunakan batu asahan dengan gred 80, 600 dan 1,200. Setiap gred mempunyai tahap asahan berbeza bagi menghasilkan ketajaman pisau,“ kata pemilik Facebook Zull Bsb dan Tiktok Zullbsb Knifemaker yang sudah hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang ini.