TANGKAK: Penganggur yang disyaki mengelar seorang wanita dipercayai isterinya di Bukit Gambir, Isnin lepas, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Lee Kim Kiat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 320 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tangkak kira-kira 8.25 pagi, sambil dikawal ketat oleh empat pegawai dan anggota polis.

Suspek kelihatan tersenyum sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah untuk prosedur reman.

Ketika prosedur reman dijalankan, kedengaran suspek meraung sambil melafazkan beberapa kalimah suci serta melaungkan takbir yang turut didengari oleh sekumpulan media yang bertugas di luar mahkamah.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tangkak Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan telah menahan seorang lelaki kerana disyaki mengelar isterinya dalam kejadian di Bukit Gambir.