KUALA KRAI: Sebanyak 28 aduan berkaitan ancaman haiwan liar dilaporkan di Kuala Krai sejak Januari hingga Mei tahun ini berbanding hanya dua kes sahaja dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat.
Beliau berkata 12 aduan dilaporkan di Balai Polis Manik Urai melibatkan 11 kes ancaman gajah liar, dan satu berkaitan kera, manakala Balai Polis Kuala Krai pula menerima 10 aduan berkaitan ancaman haiwan liar yang terdiri daripada ancaman gajah (enam kes), ular (dua), serta monyet dan tapir (masing-masing satu kes).
“Selain itu Balai Polis Laloh menerima enam aduan berhubung ancaman gajah dalam tempoh berkenaan. Tindakan secara berterusan dilakukan bersama Perhilitan bagi menangani ancaman haiwan liar ini terutamanya di kawasan penempatan penduduk,“ katanya ketika ditemui Bernama semasa membuat tinjauan di Kampung Tualang, di sini hari ini.
“Kita minta kerjasama semua pihak supaya tidak sesekali melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan liar ini kerana khuatir akan membahayakan keselamatan, sekiranya berlaku kejadian tersebut segera hubungi pihak polis atau Perhilitan untuk bantuan,“ katanya.
Sabtu lepas, media melaporkan kira-kira 300 penduduk Kampung Kubang Lebur, Kampung Batu Lada dan Taman Berkat Jaya terpaksa hidup dalam kebimbangan berikutan serangan kera liar, yang mengakibatkan dua individu cedera dalam tempoh seminggu.
Mengulas mengenai kejadian itu, Mazlan menasihatkan penduduk setempat supaya tidak membuka perangkap yang disediakan pihak Perhilitan kerana ia disediakan untuk melindungi mereka daripada serangan haiwan liar itu.
“Kita juga minta supaya orang awam membuang sampah dengan cara yang betul ke dalam tong sampah, serta asingkan bahan buangan makanan dengan lain-lain bungkusan.
“Selain itu jangan sesuka hati beri makanan kepada kera kerana apabila diamalkan selalu haiwan ini akan bergantung terus kepada makanan yang diberi dan boleh bertindak memasuki kediaman penduduk,“ katanya.