ISTANBUL: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) melancarkan siasatan selepas sebahagian komponen kepak sayap sebuah pesawat Boeing 737 tertanggal sebelum mendarat di Texas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penerbangan Delta Air Lines 1893 dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando ke Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom pada Selasa apabila penumpang menyedari sebahagian tepi belakang sayap telah rosak.
“Kami ingatkan ia hanya gelora di udara yang teruk. Pesawat bergegar dengan kuat.
“Seorang wanita di hadapan membuka penutup tingkap dan memberitahu kami ia rosak.
“Saya juga membukanya dan terus rasa takut,” kata penumpang Shanila Arif kepada CNN.
Delta dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa “sebahagian kepak di sayap kiri tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya”.
Pesawat itu telah dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan.
Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan enam kru. Tiada kecederaan dilaporkan.
Delta turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FAA- BERNAMA-ANADOLU