JOHOR BAHRU: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Cempaka di sini.

Dalam lawatan itu, beliau mendengar taklimat daripada Pengurus NADI Taman Cempaka Rusmaliza Awang berkenaan operasi NADI di taman berkenaan.

Fahmi turut meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan pengguna dan usahawan di bawah NADI.

Turut hadir Ketua Biro Bernama Johor Mohd Khairi Idham, Pengarah Jabatan Penerangan negeri Saiful Hisham Mansor, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Johor Azman Hashim dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Johor Mohamad Rizal Ahmad.

NADI merupakan penjenamaan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDI) sebagai pusat sebaran maklumat, program, aktiviti dan bantuan kerajaan.

Selain itu, NADI turut membimbing usahawan dan meningkatkan kadar celik digital dalam usaha memperbaiki sosioekonomi masyarakat serta menarik lebih banyak aktiviti keusahawanan.