PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan “Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri”, yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di dunia, dibangunkan melalui pendekatan yang dipacu oleh industri secara inklusif dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Fahmi ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif tersebut berkata usaha proaktif oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dalam membangunkan garis panduan itu, telah mengumpulkan Kementerian Kesihatan, pengamal media dan individu dengan pengalaman hidup sebenar serta diperkukuhkan lagi menerusi perundingan awam.

“Malah, Malaysia telah dijemput untuk membentangkan inisiatif ini di International Association for Suicide Prevention (IASP) World Congress 2025, bulan ini di Vienna, dengan CMCF mewakili negara kita,” katanya pada majlis pelancaran garis panduan itu di Menara Star hari ini.

Turut hadir Pengerusi CMCF Rafiq Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Ismuni Bohari dan Pengerusi Star Media Group (SMG) Tan Sri Wong Foon Meng.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), akan terus menyokong usaha seperti itu, bagi memastikan ekosistem kandungan di Malaysia kekal selamat, inklusif dan menyokong kesejahteraan rakyat.

“Saya juga ingin menyeru semua pemain industri, sama ada pengamal media, pencipta kandungan, pempengaruh, atau pengguna harian, untuk merujuk dan mengamalkan garis panduan ini dalam penciptaan dan perkongsian kandungan harian mereka,” katanya.

Beliau berkata pelaporan mengenai kes bunuh diri merupakan antara topik yang paling sensitif dan menyayat hati yang akan dihadapi oleh wartawan dan amat penting untuk melaporkannya dengan penuh tanggungjawab dan berhemah, memastikan bahawa tidak terlalu banyak butiran serta lokasi kejadian tragik itu didedahkan.

“Ini terutamanya demi pertimbangan dan belas ihsan terhadap keluarga si mati. Terdapat juga fenomena bunuh diri copycat, iaitu orang lain yang mengetahui mengenai tragedi tersebut cuba menirunya. Atas dua sebab ini sahaja, kita tidak boleh sesekali mengambil ringan mengenai pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media, Fahmi berkata beliau amat menyambut baik pendekatan TikTok yang secara sukarela menjadi ahli Forum Kandungan.

“Facebook, Instagram dan X masih jauh daripada memuaskan. Saya akan berkomunikasi dengan mereka juga, tetapi mereka perlu faham bahawa Forum Kandungan ini bukan diketuai oleh kerajaan, sebaliknya dipacu oleh industri,” katanya.

“Sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka sendiri untuk turut serta, supaya mereka dapat membantu membangunkan perkara tertentu (garis panduan), sama ada amalan terbaik, atau kod etika, Ini saya rasa adalah demi kepentingan mereka sendiri, jadi mereka sepatutnya terlibat,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata beliau berharap garis panduan itu diamalkan semua pihak, bukan sahaja wartawan tetapi mereka yang membuat pelaporan di lapangan, malah dalam seluruh struktur organisasi media.

“Untuk kita melakukan satu perubahan secara struktur, terutama budaya dalam pelaporan, seluruh organisasi perlu faham dan kita perlu menghormati beberapa prinsip seperti yang telah ditegaskan dalam garis panduan ini.

“Saya meminta supaya pihak Forum Kandungan melakukan beberapa perkara, pertama untuk melibatkan dalam sesi bengkel sebanyak mungkin organisasi media di Semenanjung, di Sabah dan Sarawak supaya semua pihak dapat memahami inti pati garis panduan yang telah diluncurkan.

“Kedua, kita perlu libatkan bukan sekadar media arus perdana tetapi juga platform-platform media sosial kerana platform seperti TikTok, Facebook dan yang lain, mereka sendiri perlu faham bahawa sebarang perkara yang menjurus ke arah yang mungkin bukan kita sebut sebagai pelaporan, laporan berita tetapi dipaparkan, dipamerkan dalam platform-platform mereka, perlu diambil satu tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada akta sedia ada mencukupi bagi mengawal selia platform media sosial, beliau berkata ia bukan isu undang-undang semata-mata sebaliknya sikap pengendali platform yang mementingkan keuntungan.

“Saya baru balik dari mesyuarat menteri-menteri komunikasi rantau Asia Pasifik, kami dapati secara umumnya banyak negara di rantau Asia Pasifik menghadapi masalah berkaitan dengan media sosial,” katanya.