• 2025-07-30 08:20 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mempersoalkan sikap dwistandard pihak yang mengkritik dasar perkongsian data mudah alih oleh kerajaan.

Beliau mengulas kritikan terhadap arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jun lalu, yang meminta syarikat telekomunikasi menyediakan data panggilan telefon bimbit dari Januari hingga Mac.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, menjelaskan bahawa permintaan MCMC bertujuan membantu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam pengumpulan data. Namun, dasar itu mendapat kecaman kerana kebimbangan terhadap privasi dan keselamatan data.

Beliau turut membandingkan situasi ini dengan kes Google yang didenda USD14 juta kerana mengumpul data 14 juta pengguna telefon pintar di California tanpa kebenaran.

“Namun, jarang sekali kita menyuarakan kebimbangan akan jenis data yang kita sendiri kerap serahkan kepada platform media sosial, enjin carian, dan kecerdasan buatan,“ katanya semasa melancarkan Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025.

Fahmi menegaskan bahawa permintaan MCMC tidak melibatkan identiti atau maklumat peribadi pengguna. Data tersebut digunakan untuk statistik rasmi DOSM, termasuk analisis mutu rangkaian, tahap penglibatan pengguna, dan taburan pengguna di setiap mukim dan daerah. - Bernama