OMBAK besar atau tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di luar pesisir Semenanjung Kamchatka, Rusia, dijangka sampai ke negara di sekitar Lautan Pasifik dalam beberapa jam akan datang, menurut pakar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Biasanya ombak itu mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke pantai, kata Charlotte Krawczyk dari Pusat Geosains Helmholtz Jerman (GFZ) pada Rabu.
Banyak negara yang bersempadan dengan Lautan Pasifik, termasuk Rusia, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Filipina, dan Indonesia, serta negara di Amerika Tengah dan Selatan mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi dasar laut yang berlaku pada 2324 GMT Selasa, kira-kira 136 kilometer ke tenggara Kamchatka, semenanjung terpencil di timur jauh Rusia.
Pakar dari AS mengukur gempa itu pada magnitud 8.8, manakala Akademi Sains Rusia menetapkannya pada 8.7, menjadikannya gempa paling kuat sejak 1952.
Ombak setinggi kira-kira 1 meter melanda pantai Pasifik Jepun dan Hawaii, menurut Krawczyk.
Namun, pakar itu memberi amaran, walaupun ombak mungkin kelihatan kecil dalam beberapa jam pertama, itu tidak bermakna ancaman berakhir.
Beberapa gempa susulan, termasuk yang kuat direkodkan sejak itu, kata Krawczyk, dengan sebahagiannya mencapai magnitud 6.
Beliau turut merujuk kepada banyak gempa kecil yang direkodkan di Wilayah Kamchatka kira-kira 10 hari lepas, yang kemudiannya disusuli dengan tiada gempa langsung - sehinggalah gempa besar berlaku pada Rabu.
“Itu perlu dipantau,“ kata pakar itu-BERNAMA-dpa