KUALA LUMPUR: Selain unsur kecuaian dan jenayah, siasatan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya turut memberi tumpuan kepada faktor mekanikal, alam sekitar, operasi dan keselamatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan melibatkan faktor mekanikal meneliti jika terdapat kemungkinan runtuhan struktur, kakisan (corrosion) atau kerosakan akibat aktiviti manusia.
“Manakala faktor alam sekitar melihat jika terdapat pergerakan air bawah tanah dan hakisan semula jadi yang boleh menyebabkan paip itu pecah.
“Faktor operasi pula kita melihat jika berlaku tekanan berlebihan atau peralatan yang tidak diselenggara dengan baik dan juga pengisian yang berlebihan dan faktor keselamatan melibatkan jika terdapat kelewatan dalam mengesan kebocoran,“ katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di sini hari ini.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi teknikal yang lain sedang menyiasat daripada pelbagai sudut atau faktor bagi mengenal pasti punca letupan itu.
Hussein turut menafikan terdapat usaha daripada mana-mana pihak untuk menyembunyikan proses siasatan di lokasi kebakaran itu.
“Tiada sebab dan tiada manfaat untuk sembunyikan apa-apa fakta mengenai kejadian ini, saya bagi maklumat terkini apa yang berlaku di lokasi dan kita juga ada kongsikan video kerja-kerja yang dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan,“ katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata meskipun elemen jenayah dan kecuaian menjadi antara fokus siasatan PDRM, faktor lain turut diambil kira dalam usaha mengenal pasti punca insiden berkenaan.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.